Friday, April 9, 2010

manuskrip (undang-undang kedah)

1. Pendahuluan

Tanah Melayu merupakan salah sebuah tempat penyebaran agama Islam. Setelah kedatangan agama Islam di Tanah Melayu, perkembangan pendidikan dan intelektual semakin berkembang pesat. Oleh hal yang demikian, ramai antara ulama dan sarjana Islam yang telah mengambil kesempatan ini untuk menghasilkan pelbagai karya yang dapat memberi manfaat kepada generasi sekarang. Jenis-jenis karya yang dihasilkan seperti manuskrip, buku-buku agama, undang-undang dan sebagainya. Karya-karya ini merupakan salah satu daripada sumber utama sejarah yang telah menjadi rujukan kepada para pengkaji.

Menurut kajian yang telah dilakukan terdapat 10 000 naskhah karya tulisan tangan yang ditemui. Antara naskhah yang ditemui merupakan undang-undang atau peraturan yang digunakan oleh negeri-negeri Melayu pada zaman dahulu. Undang-undang ini menyentuh beberapa perkara yang dapat mencerminkan sistem pemerintahan, pentadbiran, susunan masyarakat dan corak pemikiran masyarakat pada ketika itu. Konsep undang-undang masyarakat Melayu lama tidak dapat disamakan dengan undang-undang dalam masyarakat moden sekarang. Walau bagaimanapun undang-undang yang diamalkan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu telah berlandaskan syariat Islam dan telah dinukilkan dalam bentuk manuskrip.

Selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511M, negeri Kedah merupakan sebuah negeri yang banyak memiliki teks undang-undang dan teks yang tertua ialah bertarikh 1650M. Pada ketika ini, Kedah merupakan sebuah bandar pelabuhan dan teks undang-undangnya banyak membicarakan tentang pelabuhan dan perdagangan. Perkara utama yang menjadi undang-undang Kedah ialah cukai kepala ke atas pendatang asing, cukai pelabuhan ke atas kapal yang datang dari Kalinga dan Gujarat, cukai yang dikenakan oleh syahbandar Kedah ke atas hamba dan hasil timah, penggunaan kemudahan pelabuhan, keamanan di pelabuhan, piawaian dalam timbangan dan ukur, penerimaan misi dan duta asing serta sistemnya.

2. Negeri Kedah

Kedah atau Kataha atau Kadaram atau Kallah telah lama dikenali oleh pelaut dan pedagang yang menjalankan perdagangan antara India dengan China. Negeri atau pelabuhan ini yang mula muncul dalam sejarah sekitar abad ke-2M telah memainkan peranan penting sebagai pelabuhan persinggahan bagi kapal-kapal yang berlayar ke China atau India, sama ada pedagang yang menggunakan Selat Melaka atau jalan darat merentasi utara Semenanjung ke Langkasuka di pantai timur. Sejak abad ke-3, Kedah telah menjadi sebuah pelabuhan penting di Semenanjung dan telah mempunyai perhubungan dengan pelabuhan Puhar (Kaverippattinam) di selatan India (R.Braddell;1980:343). Di samping, itu orang Cina juga telah mengenalinya ketika itu dan memanggilnya Chieh-ch'a. Chieh-ch'a dikatakan pernah mengirim utusan ke istana Cina pada tahun 638M (P.Wheatley;1980:46).

Oleh kerana pedagang-pedagang Arab dan Parsi telah bertapak di tenggara China sejak abad ke-7M, kemungkinan besar mereka telah pun mengenali negeri atau pelabuhan Kedah ini pada masa itu. Pada abad ke-9, catatan Arab ada menyebut tentang pelabuhan ini yang dikenalinya sebagai Kallah. Kallah disebut oleh Abu Zaid (916M) sebagai pusat perdagangan pelbagai jenis barangan termasuklah kayu gaharu, cendana, kapur barus, gading, timah kayu baqam (kayu pencelup merah) dan rempah ratus (G.R. Tibbetts;1979;33). Pada abad ke-11M, Kedah merupakan sebuah pelabuhan entrepot yang besar. Sejak itu perdagangan dengan pihak China juga menjadi lebih penting. Pengkalan Bujang dan Sungai Emas ketika itu menjadi pelabuhan entrepot yang penting bagi hasil-hasil dagangan Timur-Barat. Sebagai bukti wujudnya perdagangan ini, telah ditemui pelbagai peninggalan barangan dagangan di kawasan ini. Di samping itu, peninggalan objek-objek dari Timur Tengah seperti lampu kaca Arab, botol-botol Arab dan tembikar Parsi, telah dijumpai juga serpihan-serpihan tembikar China zaman Sung dan Yuan. Selain daripada itu, terdapat juga bahan-bahan tembikar yang dipercayai berasal dari India.

Seperti yang telah dinyatakan, Kedah bukanlah sebuah negari atau pelabuhan yang asing bagi pedagang dan pelaut Islam sejak dahulu, ketika wujudnya perhubungan antara dunia Arab (Islam) dengan China hinggalah ke abad ke-18M. Perkataan Kallah telah tercatat dalam banyak hasil tulisan penulis Arab sejak abad ke-9M lagi walaupun bukan semua mereka pernah sampai ke negeri (pelabuhan) itu. Kallah terdapat dalam kisah Akhbar Al-Sin Wa'l-Hind (850M). Selain itu juga terdapat dalam catatan-catatan Ibn Khurdadhbih (850M), Ya'qubi (897M), Ibn Al-Faqih (903M), Ibn Rusta (900M) dan Abu Zaid (916M), Ma'udi (956M), Abu Dulaf (940M) dan Ibn Serapion (950M). Kallah juga tercatat dalam kisah-kisah pelayaran Sinbad, Ajaib Al-Hind dan Mukhtasar Al-Aja'ib. Al-Biruni juga ada mencatatkan nama Kallah di dalam kitabnya, Kitab Al-Tafhim. Selepas abad ke -10M terdapat lebih banyak catatan tentang negeri Kallah ini dalam tulisan orang-orang Arab. Hal ini termasuklah catatan Kharaqi (1138M), Odrisi (m.1165M) dan Yaqut dalam kitabnya Mu'jam Al Buldan dan Marasid Al-Ittila, Ibn Sa'id (1274M) dan Abu'l-Fida (m.1331M).

Namun apabila menjelang abad ke -14M, Kallah tidak lagi popular di kalangan pelaut dan pedagang Arab. Ramai pedagang yang melintasi kawasan ini tidak lagi menyebutnya. Kemungkinan besar pada masa itu Kallah telah dibayangi oleh sebuah pelabuhan (kerajaan) besar yang baru muncul pada akhir abad ke-13M di bahagian timur Sumatera Utara iaitu Samudra Pasai. Di samping itu, Kallah juga kemudiannya telah ditawan oleh Pasai sekitar tahun 1380M. Apabila masuk abad ke-15M, Kallah (Kedah) terus tenggelam akibat kebangkitan pelabuhan Melaka sebagai pelaut dan pengembara Arab seperti Shibab Ad-Din Ahmad ibn Majid dan Sulaiman Ibn Ahmad Al-Mahri yang melintasi kawasan ini tidak memberi penjelasan tentangnya. Jika menyebutnya pun hanya sebagai panduan belayar ( Ahmad Jelani Halini. http://www.my kedah.com. 1 March 2010)

Namun demikian perkara ini bukanlah bermakna bahawa pelabuhan Kedah telah hilang langsung. Pelabuhan ini terus wujud dan didatangi oleh pedagang dan pelaut dari kawasan lain seperti India dan China. Cuma pelabuhan ini hanya kurang popular di kalangan pelaut dan pedagang Arab. Pelabuhan Kedah terus malap hinggalah ke abad ke-16M iaitu sehingga jatuhnya kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis pada 1511M. Selepas itu, barulah pedagang-pedagang Islam mula beralih kembali ke pelabuhan di bahagian utara Selat Melaka seperti Pasai, Acheh dan Kedah. Akan tetapi orang Islam yang mendatangi Kedah pada abad-abad yang terkemudian itu bukan lagi orang Arab tetapi orang-orang Islam dari benua kecil India. Walaupun demikian ada pendapat yang mengatakan mereka itu sebahagian besarnya adalah dari keturunan Arab kacukan. Di samping itu pelabuhan yang mereka kunjungi bukan lagi Pengkalan Bujang di selatan negeri itu tetapi di Kuala Kedah ( Ahmad Jelani Halini. http://www.my kedah.com. 1 March 2010).

2.1 Negeri Kedah pada abad ke-17 dan 18.

Pada peringkat awal perkembangan kerajaan Kedah, kegiatan perdagangan tertumpu di pelabuhan Sungai Mas dan Lembah Bujang akan tetapi apabila menjelang abad ke-17M, Kuala Kedah menjadi tumpuan. Pada ketika itu, Kuala Kedah merupakan sebuah pelabuhan yang agak baik, sungainya agak luas dan dalam. Kapal-kapal seberat 250 tan boleh mudik hingga lebih kurang 100km dari kualanya. Sultan tidak bersemayam di sana tetapi pelabuhan itu dikuasai oleh puteranya kerana raja dikatakan bersemayam di Solla (Padang Salla). Kedaan ini berterusan sehingga abad ke-18M.

Pada abad ke-17M itu Kuala Kedah menjadi sebuah pelabuhan yang penting di pinggir Selat Melaka. Sejak kebangkitan Melaka, pelabuhan-pelabuhan di Kedah telah mula ditinggalkan oleh pedagang. Pelabuhan ini hanya digunakan oleh perahu tempatan yang berulang alik berdagang dengan Melaka. Terutamanya pedagang yang membawa beras dan padi. Walau bagaimanapun setelah Portugis menakluk Melaka pada 1511M, ramai pedagang Islam yang dulunya tertumpu ke Melaka kini beralih ke Acheh dan Kedah. Ketika itu, Kedah banyak menghasilkan beras, timah dan lada hitam yang semakin meningkat menjadi komoditi utama dalam perdagangan antarabangsa. Namun demikian pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1936), Kedah telah diserang dan kesemua ladang ladanya dimusnahkan termasuk ladang yang terdapat di Langkawi. Selepas itu, Kedah tidak lagi mengeksport lada dan pelabuhannya mula suram kembali justeru kerana larangan Iskandar Muda kepada kapal-kapal dagang berdagang terus di pelabuhan lain dalam jajahan takluknya selain daripada Banda Acheh. Sebelum dimusnahkan oleh Acheh, Kedah mempunyai perdagangan yang agak luas khususnya ke barat, iaitu Benggala, Surat dan Koromendel ( Ahmad Jelani Halini. http://www.my kedah.com. 1 March 2010).

Namun demikian setelah kemangkatan Iskandar Muda dan Iskandar Thani (1641M), pelabuhan Kedah sudah mula maju semula. Banyak kapal-kapal dari India dan China telah singgah di pelabuhan itu. Begitu juga kapal-kapal Belanda dan country traders Inggeris. Ketika Thomas Bowery singgah di pelabuhan itu sekitar tahun 1670-an, beliau melaporkan terdapat 4 atau 5 buah kapal datang dari Surat, Koromendal dan Benggala ke negeri ini setiap tahun. Dari Borneo 5 atau 6 buah perahu dan lebih kurang 30-40 perahu Kedah sendiri yang sering berulang-alik berdagang ke Bangaree, Ujung Salang, Perak dan Acheh. Bowery juga mencatatkan dalam Maly Dictionary nya bahawa Kedah menghasilkan 1000 pikul lada dan 5000 pikul timah setahun.

Keadaan Kedah tidak banyak berubah pada abad ke-18M. Hasil perdagangannya seperti beras, gading, timah, hasil-hasil hutan, lada dan gajah. Sebuah laporan pihak Inggeris pada tahun 1786M mencatatkan bahawa di Kedah ketika itu terdapat banyak beras, ternakan seperti kerbau, lembu dan kambing. Di samping itu, terdapat juga bijih timah dan gajah yang dijual ke India lebih kurang 16 ekor setiap tahun. Ketika pihak Belanda cuba memperluaskan dasar ekonominya ke seluruh Kepulauan Melayu, Kedah terus berusaha melepaskan dirinya daripada ikatan itu walaupun terpaksa menghadapi sekatan-sekatan daripada pihak penjajah. Ketika ini lebih ramai pedagang Islam dan China datang ke Kedah bagi mencari pasaran baru untuk barangan mereka dan juga mengelakkan kerenah pihak Belanda yang cuba menyekat perdagangan mereka. Perkara ini telah dapat membantu Kedah meneruskan perdagangannya yang hampir lumpuh akibat sekatan-sekatan Belanda. Namun demikian, keadaan di Kedah ketika itu tidaklah begitu aman kerana berlaku perang saudara di antara anak-anak Raja Kedah. Keadaan ini mungkin kerana perbalahan dan perpecahan di kalangan anak-anak Raja Kedah ini yang menyebabkan ramai pedagang-pedagang Chulia dapat menghampiri raja sehingga akhirnya mereka mendapat kedudukan yang tinggi seperti menjawat jawatan Saudagar Raja, jawatan yang tidak pernah wujud sebelumnya (Ahmad Jelani Halini. http://www.my kedah.com. 1 March 2010).

3. Latar belakang buku dan teks

Manuskrip ini dikenali sebagai undang-undang Kedah dan telah dilakukan salinan dan diterjemah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Usaha-usaha ini dilakukan demi memelihara karya dan sumber kajian kepada generasi sekarang dan akan datang dalam melakukan kajian terhadap manuskrip lama. Teks ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Dewan Bahasa dan Pustaka pula telah menterjemahkan kembali ke dalam bahasa Melayu dari Perpustakaan School of Oriental and African Studies (SOAS), London. Nombor rujukan teks ini MS 40329 dan berbentuk mikrofilem.

Teks ini berukuran 29cm x 19cm dan mengandungi 65 halaman, 29 baris bagi setiap halaman dan setiap baris pula mengandungi lebih kurang 17 perkataan. Teks ini ditulis dengan dakwah hitam, tulisannya juga cantik tetapi agak kecil saiznya dan ditulis sangat rapat antara satu sama lain sehingga kadang-kadang agak sukar untuk dibaca. Pada penghujung teks dinyatakan bahawa teks undang-undang ini telah siap ditulis pada hari Selasa, bulan Rabiulawal, tahun 220 Hijrah, pada zaman Sultan Jamal al-Alam Badrul Munir yang memerintah negeri Aceh Darussalam.

Walau bagaimanapun teks ini telah dinukilkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan telah diselenggarakan oleh Maryam binti Salim. Buku ini telah diterbitkan pada tahun 2005 dan dicetak oleh Dawama Sdn Bhd, Ampang, Selangor Darul Ehsan. Buku ini berwarna kuning, mempunyai 175 halaman. Mempunyai kata pengantar dan pendahuluan di permulaan buku ini dan diakhiri dengan bibliografi. Buku ini dilengkapi dengan translisasi teks undang-undang Kedah, lampiran iaitu teks asal undang-undang ini dalam tulisan jawi. Kemudian dimuatkan juga dengan glosari.

4. Kandungan teks

Teks ini menyatakan tentang undang-undang yang telah dijalankan di negeri Kedah pada zaman dahulu. Teks undang-undang ini dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu:

a) Undang-undang pelabuhan.

b) Undang-undang Seri Paduka Tuan.

c) Hukum Kanun Datuk Kota Setar.

d) Cara membuat bunga emas.

e) Undang-undang hijrah seribu seratus sembilan puluh sembilan (1199).

4.1 Huraian dan gambaran kandungan teks.

4.1.1 Undang-undang pelabuhan

Undang-undang 1060M itu merupakan undang-undang yang tertua di antara kesemua undang-undang kerajaan Kedah itu. Ia dikatakan tertulis pada tahun 1060H bersamaan 1650M. Undang-undang ini merupakan undang-undang atau peraturan pelabuhan. Mengikut Winstedt, undang-undang ini mirip kepada undang-undang kerajaan Moghul yang terkandung di dalam Tarikhi Tahiri. Andaian ini tidak semestinya tepat. Akan tetapi memang ada kemungkinan bahawa undang-undang Kedah itu ditiru atau diadaptasikan daripada undang-undang pelabuhan Acheh (adat Acheh). Terdapat nama-nama jawatan dan peraturan-peraturan yang sama yang terdapat dalam undang-undang pelabuhan Acheh. Lagipun ketika undang-undang itu ditulis 1060H (1650M) memang Kedah merupakan salah sebuah wilayah takluk Acheh.

Kesibukan pelabuhan Kedah pada abad ke-17 dan abad ke-18, telah menyebabkan Kedah telah menghasilkan undang-undang serta peraturannya sendiri. Hal ini bukanlah bermakna sebelum abad-abad tersebut, Kedah tidak mempunyai undang-undang dan peraturan, akan tetapi hingga ke hari ini undang-undang itu dalam bentuk dokumen masih belum ditemui. Di samping itu, kemungkinan juga Kedah menggunakan undang-undang dan peraturan yang dikenakan oleh kuasa-kuasa yang menaunginya pada masa itu seperti Funan, Sriwijaya, Pasai, Siam, Melaka dan Acheh. Hanya setelah ia bebas daripada naungan ini kelihatan ia mencatatkan undang-undangnya sendiri. Akan tetapi undang-undang itu jelas menampakkan pengaruh kerajaan-kerajaan yang pernah menaunginya, khususnya Melaka dan Acheh.

Kerajaan Kedah memperuntukkan satu undang-undang untuk menguruskan pelabuhannya sendiri pada masa itu kerana ketika itu kekuasaan kerajaan Acheh ke atas Kedah semakin lemah, iaitu setelah kemangkatan Sultan Iskandar Thani pada tahun 1641M. Sebelum itu pelabuhan Kedah agak terbiar kerana mengikut peraturan yang dikeluarkan oleh Iskandar Muda Mahkota Alam pada tahun 1045H (1635M) semua kapal asing dilarang berdagang terus dengan mana-mana pelabuhan di bawah takluknya. Semua perdagangan hendaklah dikendalikan di pelabuhan Banda Acheh. Justeru itu undang-undang ini tidak pernah dicatatkan di Kedah sebelum itu. Undang-undang ini juga diperlukan di pelabuhan Kedah kerana semakin meningkatnya perdagangan di pelabuhan itu selepas kemangkatan Iskandar Thani (1640). Keadaan pelabuhan Kedah semakin sibuk dengan kapal-kapal dagang. Lebih banyak kapal dagang dari India, China dan Barat khususnya country traders Inggeris datang ke Kedah selain daripada perahu penduduk tempatan. T. Bowery mencatatkan bahawa Kedah ketika itu mempunyai kira-kira 30-40 buah perahu yang digunakannya untuk berdagang hingga ke Bangaree, Ujung Salang, Perak dan Acheh.

Undang-undang pelabuhan 1060H itu dikatakan telah disalin daripada undang-undang yang dibuat oleh Dato' Besar sebelumnya atas perintah Sultan Kedah (Sultan Rijaluddin Muhammad Syah, 1619-1652M) pada tahun zai, 17 haribulan Jamadilakhir pada hari Jumaat 1060H. Perintah itu telah dilaksanakan oleh Paduka Raja. Undang-undang ini terdiri daripada 37 fasal dan merupakan satu-satunya undang-undang pelabuhan yang pernah ditemui di negeri-negeri Melayu di Semenanjung. Melaka pada zaman keagungannya tidak mempunyai undang-undang pelabuhan, yang ada hanyalah undang-undang laut yang berkaitan dengan perkapalan dan perdagangan.

4.1.2 Undang-undang / Tembera Seri Paduka Tuan

Undang-undang ini telah digubal oleh Dato' Seri Paduka tuan serta beberapa orang menteri lain atas perintah Sultan Kedah yang bersemayam di Kota Palas (Sultan Dhiauddin Mukarram Shah I, 1661-1688M) pada hari Isnin bulan Rabbiulawal tahun dal 1078H. Tembera atau undang-undang ini mengandungi 16 fasal. Undang-undang ini berlandaskan peraturan syariah dan jika dibandingkan dengan undang-undang Melaka, ianya lebih berunsurkan keislaman. Undang-undang ini bukan sahaja cuba membanteras perkara-perkara mungkar akan tetapi juga menggalakkan amal ma'ruf. Sebagai contoh dalam fasal pertamanya dinyatakan bahawa tugas kweng iaitu penghulu dan panglima adalah untuk menangkap mereka yang berjudi, menghisap ganja, minum arak, mencuri dan merompak dan membawa mereka ke muka pengadilan. Dan dalam fasal yang kedua dinyatakan bahawa para kweng juga dikehendaki menasihati anak buah mereka supaya mengerjakan sembahyang lima waktu, sembahyang Jumaat dan berpuasa. Mereka yang tidak mahu mengerjakan sembahyang akan ditangkap dan dikakang lehernya. Pesalah hanya akan dilepaskan jika dia mahu bertaubat.

Sesuai dengan kedudukannya sebagai sebuah negeri pertanian, undang-undang Kedah ini banyak mencatatkan tentang hal-hal padi dan kerbau. Dalam Tembera Paduka Tuan ini terdapat 5 fasal yang diperuntukan untuk pemeliharaan sawah dan kerbau. Antaranya seperti perintah membuat pagar di sawah dan hukuman terhadap kerbau dan tuan kerbau jika kerbau tersebut menceroboh masuk ke dalam sawah orang lain yang sudah berpagar ataupun jika menanduk orang. Adanya peruntukan khusus dalam Hukum Kanun Kedah yang berkaitan dengan persawahan itu, jelas membuktikan bahawa Kedah sejak abad ke-17 lagi terkenal sebagai sebuah negeri 'jelapang padi' di Nusantara ini. Di samping itu dicatatkan juga peraturan berdagang dan undang-undang tanah. Undang-undang ini juga turut memperuntukkan hak laluan yang mirip dengan undang-undang moden hari ini. Dalam fasal 15, dicatatkan;

"Fasal yang kelima belas menyatakan hukum undang-undang pada hal jalan. Jika sa-orang kampong didalam sa-orang diluar,jika tiada taroh jalan menjadi terpenjara-lah mereka itu, maka hendaklah jalan adat-nya enam hasta luasnya, maka dapat lalu perusongan itu-lah kira-nya. Dibicarakan oleh segala yang arif, supaya jangan hamba Allah itu jadi berbantah sesama sendiri-nya; tambah pada hokum adat negeri pun, kerana jalan besar pekerjaannya jika sudah tiada berjalan, tiada-lah dapat mereka itu dudok pada tempat itu. Maka ini dibicarakan hukumnya, jika tiadalah tuan tanah itu mahu membuka jalan, maka dapat di-beli tanah itu ka-pada-nya tiada mahu dijual-nya tanah itu, maka hendaklah gagah buka juga jalan itu dengan kekerasan : apa-apa dapat dikata oleh tuan tanah itu suatu pun tiada jadi perkataan. Demikian-lah hukum-nya."

4.1.3 Hukum kanun Datuk Kota Setar.

Undang-undang atau Hukum Kanun Kedah sama seperti undang-undang Melayu lama yang terdapat di negeri-negeri Melayu lain di Nusantara ini adalah merupakan suatu gaya penulisan atau gaya bahasa sesuatu zaman. Ianya juga tergolong sebagai sebuah genre kesusasteraan Melayu lama atau tradisional, satu-satunya penghasilan kreatif elit Melayu di kalangan istana dengan ciri-ciri tersendiri sebagaimana yang terdapat pada corak-corak sastera Melayu lama lainnya. Begitu juga dengan teks lama yang bersifat historiografi. Sebagai contoh, Hikayat Merong Mahawangsa tidak bersifat sejarah, maka begitulah juga keadaannya dengan teks undang-undang lama. Teks-teks lebih banyak memaparkan tentang sosio-ekonomi dan sosio-budaya bagi sesuatu masyarakat pada zaman silam. Hal ini adalah sesuai dengan pendapat yang menyatakan "bahawa sastera lama adalah sebahagian daripada kebudayaan lama yang dipancarkan oleh masyarakat lama".

Kota Star telah diasaskan pada 15 Syaaban 1148H/1735M oleh
Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II, Sultan Kedah ke-19. Baginda memerintah pada tahun 1710 -1778. Di samping itu, baginda meneroka bandar Alor Star, mencipta beberapa perubahan dan pembaharuan termasuklah menetapkan matawang baru dan sukatan tanah. Dalam buku al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah ada menyebut tentang arahan baginda supaya menetapkan undang-undang negeri, antaranya ditegaskan:

"Adapun Sultan Muhammad Jiwa Yang Maha Mulia memerintah Negeri Kedah itu adalah mengikut peraturan negeri besar-besar. Baginda itu membuatkan undang-undang, adat dan syarak, serta dipertetapkan masing-masing pegangan di atas segala menteri-menteri tiada boleh menukar pekerjaan masing-masing sebagaimana yang telah ditetapkan itu."

Berdasarkan kenyataan ini, orang yang bertanggungjawab mewujudkan "Hukum Kanun Dato' Kota Star" itu ialah Sultan Muhammad Jiwa. Alasan ini dapat diperkuatkan lagi dengan adanya nama baginda yang disebutkan pada bahagian terakhir dalam undang-undang tersebut yang mengisahkan cara-cara membuat 'bunga mas' pada zaman baginda. Hukum Kanun Dato' Kota Star pada keseluruhannya mengandungi lapan fasal iaitu yang berkaitan dengan:

  • Tugas Temenggung,
  • Perintah Raja-raja,
  • Syarat Raja-raja,
  • Bahasa Raja-raja,
  • Pakaian Raja-raja,
  • Lima Perkara yang dibenarkan rakyat biasa melakukannya,
  • Warna bendera untuk Raja-raja, Menteri dan Hulubalang,
  • Sifat kebesaran yang ada pada raja-raja dan para pembesar lain.

Seperti juga dengan tugas 'Syahbandar' yang begitu banyak diperkatakan dalam Hukum Kanun Kedah, maka dalam Hukum Kanun Dato’ Kota Star tugas 'Temenggung' paling banyak dinyatakan dari fasal-fasal yang lain. Selaku pembesar yang bertanggungjawab untuk keselamatan negeri dan kesejahteraan rakyat, beliau bersama pembantunya seramai 60 orang sentiasa melakukan rondaan secara bergilir-gilir dan terdapat juga yang mengawal penjara. Mereka akan menangkap pesalah-pesalah seperti pencuri, penyamun, pemakan madat, penyabung ayam dan pembunuh orang.

Undang-undang itu mula ditulis pada 17 Jamadilakhir 1060H/ 26 Jun 1650M. Sebagai sebuah hasil karya istana, ternyata penulisan ini ditulis atas perintah raja. Kandungan hukum kanun di bahagian pertama tersebut ditulis selepas berlakunya serangan Acheh pada tahun 1619M. Pada waktu itu pentadbiran Kedah berpusat di Kota Siputih. Sultan Sulaiman Shah II, Sultan Kedah yang ke-12 pada tahun 1602 – 1620M telah ditawan ke Acheh dan akhirnya mangkat di sana pada tahun 1626M. Puteranya Sultan Rijaluddin Muhammad Shah, Sultan Kedah ke-13 pada tahun 1626 – 1652M telah memindahkan pusat pentadbirannya ke Kota Naga. Ketika berada di Kota Naga, baginda telah memerintahkan pembesarnya iaitu Paduka Raja supaya menyempurnakan penulisan Undang-Undang Kedah seperti yang ternyata dalam dua petikan tersebut. Kandungan bahagian pertama dari hukum kanun Kedah itu pada keseluruhannya mencatatkan tentang undang-undang yang berkaitan dengan pelabuhan yang di dalamnya meliputi tatacara mengendalikan pelabuhan, perdagangan dan pesara iaitu pecan atau Bandar.

Dalam kata pengantar bahagian terawal dari Hukum Kanun Kedah tersebut, penulisnya mencatatkan begini :

"Pada tarikh seribu enam puluh tahun, tahun zai, pada tujuh belas haribulan Jamadilakhir, hari Jumaat, bahawa pada ketika itu maka adalah titah Syah Alam Yang Maha Mulia terjunjung ke atas jemala Paduka Raja suruh salin ambil taruh undang-undang perbuatan Dato' Besar dahulu …………………"

dan pada tempat lain pula penulisnya menyatakan :

"Maka undang-undang ini diperbuat dan zaman Sultan Rijaluddin Muhammad Shah semayam di Naga,muafakat dengan sekelian menteri pegawai dan pendita membicarakan dia supaya tetap adat ini janganlah berubah-ubah.............. "

Undang-undang ini jelas memperlihatkan kematangan fikiran orang-orang Melayu Kedah pada masa itu untuk mengawal kegiatan dan tindakan para pegawai negeri. Sebagai contoh, walaupun Temenggung merupakan seorang pegawai yang mempunyai kuasa tertinggi yang bertindak sebagai Menteri Dalam Negeri atau Ketua Polis Negara akan tetapi beliau tidak boleh bertindak sesuka hati. Kanun Dato' Kota Star ini memperuntukkan bahawa beliau hanya boleh bertindak menghukum seseorang itu setelah dijatuhi hukum oleh Penghulu Hakim. Fasal 1 Kanun ini mencatatkan antara lain;

" …Maka akan banyak orang Temenggung mengawal negeri itu enam puloh orang berganti-ganti. Sa-bagai pula: perkerjaan Temenggong itu, apa-bila orang berdakwa sudah jatoh hokum, di-suroh penghulu hakim keluarkan maka Temenggong-lah mengeluarkan dia: barang yang thabit pada hukom Allah taala: tiada boleh Temenggong itu memereksa pandai sendiri-nya mengeluarkan itu, supaya tiada teraniaya anak daawa itu: maka akan hasil Temenggong sapuloh emas. Jikalau orang kena rantainya berlenggu, hasil Temenggong sa-paha emas. Jika orang itu jatoh hokum di-kodong atau di-bunoh, maka tiada-lah hasil kepada-nya."

Selain itu, terdapat juga peraturan atau larangan terhadap rakyat yang ingin keluar pada waktu malam. Orang ramai tidak dibenarkan berjalan malam kecuali mempunyai sebab-sebab utama dengan syarat menggunakan damar sebagai lampu atau obor. Mereka yang melanggar hukuman ini akan ditangkap dan sesiapa yang melawan akan dibunuh kerana melawan titah raja. Sekiranya orang yang didakwa atau saksi-saksinya tidak menghadiri perbicaraan yang ditetapkan oleh hakim, maka Temenggung akan mengarahkan orangnya mengikuti mereka. Anak buah Temenggung yang mencari mereka akan mendapat upah atau bayaran mengikut jarak dekat atau jauh mereka itu dapat dikesan. Misalnya jika ke Perlis atau Pedu upahnya dua emas, Tanjung Pauh upahnya dua kupang, sementara Anak Bukit atau Naga upahnya sekupang.

Dalam fasal empat dan lima ditekankan segala 'larangan diraja' baik sama ada dari segi perkataan atau bahasa serta dalam hal pakaian. Hal ini merupakan antara ciri-ciri keistimewaan yang diperuntukkan kepada raja-raja yang tidak boleh dilakukan oleh orang biasa. Dari segi bahasa, hukum kanun menegaskannya begini:

"Fasal pada menyatakan hukum bahasa raja-raja itu lima perkara:
pertama 'titah', dan kedua 'kami', dan ketiga 'kita', dan keempat 'berpatik' dan kelima 'derma kurnia'. Maka kelima perkara ini tiada boleh berkata-kata dengannya mereka yang keluaran, barangsiapa melalui akan dia hukumnya dibunuh jika ia hamba raja, dan dikujut mulutnya jika ia keluaran
".

Jika diperhatikan perkara yang sama terdapat dalam hukum kanun ini juga terdapat teks Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Riau. Cuma yang berbeza dalam hukum kanun ini tidak terdapat perkataan 'murka' dan sebaliknya digantikan dengan kata 'kita' manakala yang lainnya adalah sama sahaja. Dari segi pakaian pula, Hukum Kanun Dato’ Kota Star ini menyatakan:

"Fasal pada menyatakan pakaian raja-raja itu empat perkara: pertama berkain kuning, dan kedua bertilam pandak empat persegi namanya peterana, dan ketiga ubur-ubur, dan keempat tombak bercabang. Maka seperti pakaian yang demikian, tiada boleh yang lain memakainya, barang-siapa memakainya kelak dirampas."

Kesemua larangan tersebut jelas menunjukkan betapa tingginya taraf seseorang raja dan dianggap berdaulat. Larangan tersebut bertujuan untuk membezakannya dengan rakyat jelata. Dalam hukum kanun ini, warna kuning menjadi warna khusus untuk pakaian diraja. Di samping itu terdapat 2 perkara lagi yang menjadi kepunyaan raja seperti yang ditegaskan dalam fasal 6 iaitu:

a) membuat perusung atau alat mengusung orang yang dipanggil raja diraja.

b) membuat binaan sebagai tambahan kepada yang sedia ada pada bahagian kiri dan kanan sesebuah bangunan, atau rumah, kapal atau perahu, yang dipanggil sayap lelayang.

Kedua-dua perkara ini juga adalah dilarang kepada rakyat biasa membuatnya. Walau bagaimanapun ada pula kekecualiannya iaitu dalam mengerjakan sesuatu adat atau aktiviti harian, rakyat dibenarkan membina dua perkara di atas termasuk dibenarkan memakai pakaian berwarna kuning, tetapi mestilah dengan syarat-syarat tertentu dan mempunyai kaitan dengan kebaikan atau kepentingan kepada raja. Berikut adalah beberapa teks menarik daripada Hukum Kanun Dato’ Kota Star yang berkaitan dengan perkara yang dibincangkan:

"Fasal yang menyatakan lima perkara yang boleh diperbuat oleh mereka
yang keluaran, kerana maaf dan diampuni raja.

  1. Pertama di atas 'mempelai' yang diarak, boleh ia memakai pakaian kekuningan dan pakaian beremas dan berpayung besar yang dipegang oleh orang serta bersorak-sorak, dinamai akan dia 'raja sehari', kerana puteranya pada sehari itulah raja kepada sekalian warisnya."
  2. Kedua di atas 'jenazah' boleh diperbuat mereka itu raja diraja dan sayap lelayang dan sulur bayung serta kain sampai, kerana puteranya sehari itulah hilang di mata mereka itu sekalian warisnya, sekalian pekerjaan itu tiada menjadi tulah atau papa.
  3. Ketiga di atas 'perahu' yang dibawa ke lautan boleh dibubuh sayap lelayang, maka petuanya tiada dapat pada ketika perahu itu dipinjam raja.
  4. Keempat pada 'masjid' boleh dibubuh sayap lelayang, maka petuanya di rumah Allah, apabila raja berangkat, nescaya singgah ia sembahyang.
  5. Kelima di atas 'pangkalan' yang besar-besar serta banyak orang pergi datang bolehlah diperbuat jamban berdinding papan dan bersayap lelayang.

Dan demikian juga pada 'jalan raya' hendaklah diperbuat telaga dan balai bersayap lelayang, maka petuanya tatkala raja berangkat mudik, bila dipandangnya jamban itu baik, dan singgahlah ia naik kepada jamban itu, dan apabila berangkat berburu, bila dipandangnya, balai dan telaga itu baik, nescaya singgahlah ia di situ, berhenti bersemayam."

Manakala dalam fasal terakhir hukum kanun ini dinyatakan apakah sifat-sifat kebesaran yang ada pada seseorang para pembesar seperti Syahbandar, Laksamana, Temenggung, Panglima Negeri dan lain-lain termasuklah juga mata-mata dan 'hamba raja'. Pada keseluruhannya yang ingin ditegaskan oleh undang-undang tersebut ialah ketika para pembesar itu menjalankan kewajipan atau tugas yang ditetapkan, kuasa mereka seperti seorang raja, kerana mereka menjalankan tugas raja, seperti dalam beberapa kutipan berikut:

"Dan kebesaran Panglima Negeri, pada masa dititahkan raja berkerah, ialah raja, tiada boleh dilalui (dibantahi) sabdanya". "Dan kebesaran Temenggung itu pada masa membunuh orang dengan titah oleh raja, tiada boleh dilalui perkataannya kerana ialah raja pada masa itu".

Pada bahagian terakhir hukum kanun ini terdapat gelaran Seri Perdana Menteri dan pada bahagian terakhir Hukum Kanun Kedah itu gelaran tersebut diulang lagi dengan sebutan Paduka Seri Perdana Menteri atau Perdana Menteri sahaja. Gelaran ini diberikan kepada seseorang pembesar paling kanan iaitu jawatan Bendahara dan ianya terus digunakan sehingga abad ke-19 iaitu pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada tahun 1881- 1943 iaitu Sultan Kedah ke-25. Tokoh tersebut ialah Wan Muhammad Saman yang dilantik sebagai Perdana Menteri Kedah Darul Aman pada tahun 1870 iaitu pada zaman Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukaram Shah iaitu Sultan Kedah ke-23.

Sebenarnya masih terdapat beberapa gelaran lagi dalam Hukum Kanun Kedah itu yang digunakan dengan meluas pada masa silam tetapi tidak lagi digunakan sejak akhir abad ke-19. Misalnya gelaran 'Orang Kaya Khankhan' atau 'Hakim Seri Maharaja Khankhan' dan juga 'Paduka Seri Maharaja Jalil'. Di samping bertugas sebagai hakim besar di dalam negeri, Orang Kaya Seri Maharaja Khankhan juga ditugaskan menggubal syarat-syarat perjanjian dengan pihak-pihak kerajaan lain malah ia sendiri bertindak sebagai wakil bagi pihak Sultan untuk menandatangani sesuatu perjanjian. Sementara Paduka Seri Maharaja Jalil bertindak sebagai Mufti di samping sebagai saksi dalam menyelesaikan sesuatu hal yang bersangkutan dengan pemberian tanah kepada rakyat. Namanya sering disebut pada bahagian akhir geran-geran tanah yang dikeluarkan di Negeri Kedah pada abad ke-19.

4.1.4 Cara membuat bunga emas.

Undang-undang ini pula lebih merupakan peraturan atau adat tentang pembuatan bunga mas untuk dikirimkan ke Siam. Selain itu turut dinyatakan tentang alat-alat yang digunakan dalam majlis adat istiadat pertabalan seseorang raja, tugas pembesar negeri, adat meminang, peraturan duduk dib alai besar, adat menyambut Raya Haji dan sebagainya. Undang-undang ini tidak banyak berkaitan dengan orang ramai. Undang-undang ini lebih tertumpu kepada pengurusan istana. Tiada catatan yang menjelaskan tentang tarikh peraturan ini digubal. Undang-undang ini mengandungi 24 fasal. Walaubagaimanapun, dalam bahagian ini juga diulang perkara-perkara tentang sifat seorang raja yang baik, bahasa dan perkara-perkara larangan yang dikhaskan untuk raja sahaja serta 5 perkara yang dikecualikan daripada larangan tersebut.

4.1.5 Undang-undang hijrah 1199

Undang-undang ini pula lebih merupakan salinan dan gabungan Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Bahagian ini dibahagikan kepada beberapa fasal dan subfasal iaitu 23 fasal. Antaranya dibincangkan tentang adat istiadat dan pantang larang diraja, hukum jenayah seperti membunuh, mengamuk, mencuri, mengganggu anak, isteri dan tuning orang dan sebagainya. Selain itu, turut membincangkan tentang hukum nikah, hokum gantang dan cupak, hokum berwakil, hokum orang berkampung, hokum mendapat orang binasa dan lapar, hokum berniaga, syarat menjadi skasi dan lain-lain. Bahagian ini diakhiri dengan bahagian-bahagian yang diambil daripada Undang-undang Laut Melaka.

1. Kesimpulan

Undang-undang Kedah yang telah diparktikkan di negeri Kedah lama ini telah memberi suatu gambaran kepada generasi kini tentang kehidupan dan suasana masyarakat pada zaman tersebut. Selain itu, dapat dilihat juga pengaruh agama Islam telah meresap masuk ke dalam kehidupan dan aktiviti harian serta undang-undang masyarakat Melayu pada waktu tersebut.

Sesuatu undang-undang digubal bertujuan untuk menjaga keamanan, keharmonian dan ketenteraman, keharmonian dan ketenteraman rakyat sesebuah negeri agar menjadi sebuah negeri yang makmur serta rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan sentosa. Oleh kerana itu, undang-undang Kedah ini telah digubal dan dilaksanakan di negeri ini. Walau bagaimanapun teks undang-undang ini perlulah dikaji dengan lebih mendalam dan dihargai oleh generasi kini. Hal ini kerana teks lama ini merupakan sebuah karya yang tergolong sebagai sebuah genre kesusasteraan Melayu lama atau tradisional dan satu-satunya penghasilan kreatif elit Melayu di kalangan istana dengan ciri-ciri tersendiri sebagaimana yang terdapat pada corak-corak sastera Melayu lama.


1 comment:

  1. snow peak titanium: A tool for the artisans' creative - TITanium
    snow apple watch titanium vs aluminum peak titanium drill bit set titanium is a tool for the 토토 사이트 코드 artisans' creative. The mens wedding bands titanium world of art has become saturated edc titanium in the past year and we all know the perfect place for your

    ReplyDelete